Sunday, March 17, 2013

SMKBP JOHAN ANUGERAH TOKOH NILAM PERINGKAT NEGERI 2013

Pada 26-28 Februari 2012, Pertandingan Anugerah Tokoh Nilam Peringkat Negeri Johor Tahun 2013 telah diadakan, bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Johor, Skudai, Johor Bahru.  Dalam pertandingan tersebut, seramai dua orang calon dari SMK Bandar Putra telah mewakili daerah Kulaijaya, masing-masing bagi kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Kategori Bahasa Melayu diwakili oleh saudari Nur Sakinah Binti A. Hadi manakala bagi kategori Bahasa Inggeris diwakili oleh saudari Vishalini a/p Ravichandran.
Pertandingan Anugerah Tokoh Nilam Peringkat Negeri Johor dijalankan dalam format kem di mana peserta akan diuji dan dinilai daripada pelbagai aktiviti dan tugasan yang diberikan sepanjang 2 hari, manakala hari ketiga adalah acara penutupan rasmi serta pengumuman keputusan. Peserta-peserta tersebut dibimbing oleh Pn. Nik Norziana Binti Nik Yusuf (BM) dan Pn. Julia Binti Abdul Muttalip (BI).
Pada hari pertama, selepas sesi pendaftaran, peserta menghadiri taklimat yang diberikan oleh pegawai BTPN iaitu Pn. Helen. Dalam taklimat beliau, peserta diingatkan supaya mematuhi peraturan sepanjang kem berlangsung. Slot pertama pada hari tersebut adalah sesi Jejak Maklumat yang bertempat di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor, Jalan Yahya Awal. Peserta dimestikan berpakaian sukan untuk slot tersebut untuk memudahkan pergerakan. Tugasan yang diberikan adalah mencari maklumat tentang 10 tajuk pengetahuan am. Di perpustakaan tersebut, peserta bebas menggunakan system OPAC untuk mencari buku yang sesuai bagi tajuk yang diberikan. Aktiviti Jejak Maklumat tersebut berakhir pada jam 4 petang. Usai aktiviti Jejak Maklumat tersebut, peserta dibawa ke Legoland bagi tujuan bersiar-siar dan sesi fotografi.
Pada jam 6 petang, peserta kembali semula ke BTPN untuk makan malam dan bersedia untuk sesi ujian bertulis pada jam 8.30 malam. Sesi Ujian Bertulis berlangsung pada jam 8.30 malam di mana peserta diberikan tajuk esei (150 patah perkataan) untuk dijawab dalam tempoh 30 minit.  Tamat sesi ujian bertulis, satu siri ceramah Astronomi telah diadakan selama satu jam untuk mendedahkan peserta kepada maklumat tentang ilmu astronomi. Sesi tamat pada jam 11 malam.
Pada hari kedua, peserta diuji dalam dua sesi iaitu sesi temuduga dan forum. Setiap temuduga berlangsung selama lebih kurang 30 minit. Peserta juga diberikan bahan rekreasi minda untuk mengisi masa yang terluang. Dalam sesi temuduga, peserta disoal tentang pengurusan Pusat Sumber dan pelbagai maklumat mengenai buku. Selain itu, soalan berbentuk pengetahuan am dan pendapat juga antara aspek yang dinilai. Sesi temuduga bagi semua peserta berakhir pada jam 2 petang.
Pada jam 2.30 petang, peserta diuji dalam sesi forum di mana peserta diletakkan dalam kumpulan (seramai 5 orang dalam setiap kumpulan). Dalam sesi forum, peserta dinilai dari sudut kemahiran berkomunikasi dan pengetahuan am serta keyakinan dalam memberikan pendapat masing-masing. Sesi tamat pada jam 4.00 petang. Tamatnya dua sesi tersebut, peserta kemudian bersedia untuk aktiviti malam. Peserta diberitahu bahawa sesi Jejak Maklumat akan didadakan pada jam 8.00 malam diikuti dengan Persembahan Kebudayaan.
Aktiviti Jejak Maklumat diadakan pada jam 8.30 malam di mana peserta Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah digabungkan dalam 10 kumpulan. Setiap kumpulan perlu menjawab 62 soalan. Jawapan bagi soalan-soalan tersebut boleh didapati dari beberapa lokasi berbeza di BTPN iaitu di asrama, Bilik ICT, Pusat Sumber dan Bilik Seminar. Sesi tersebut berakhir sekitar jam 10 malam. Aktiviti diteruskan dengan persembahan setiap kumpulan yang berakhir sekitar jam 1 pagi.
Hari ketiga, peserta berhimpun di Dewan Seminar Jabatan Pelajaran Negeri Johor bagi acara penutup dan pengumuman keputusan pertandingan tokoh Nilam peringkat negeri johor tahun 2013. Bagi Kategori Bahasa Melayu, saudari Nur Sakinah Binti A. Hadi telah Berjaya mendapat tempat ketiga manakala bagi Kategori Bahasa Inggeris, saudari Vishalini a/p Ravichandran telah dinobatkan sebagai Tokoh Nilam Negeri Johor Tahun 2013.

 Tokoh Nilam 2013(Tempat Ketiga) Sakinah Binti A. Hadi (Berdiri; tiga dari kiri) bersama
 wakil-wakil daerah bagi kategori Bahasa Melayu.





VISHALINI A/P RAVICHANDARAN(TENGAH)
TOKOH NILAM PERINGKAT NEGERI JOHOR 2013
KATEGORI BAHASA INGGERIS
Tahniah diucapkan kepada kedua-dua peserta kerana telah mengharumkan nama SMK Bandar Putra. Kejayaan mereka juga adalah hasil usaha Tuan Pengetua, En. Azman Bin Adnan dan guru-guru yang bersama-sama menggembeleng tenaga dalam persiapan calon iaitu Guru Perpustakaan & Media, Pn. Rohaya Mohd. Nor, Setiausaha Unit Perpustakaan & Media, Pn. Nik Norziana binti NIk Yusuf, Guru Nilam Bahasa Melayu, Pn. Manjula a/p Thamgaraj, Guru Nilam Bahasa Inggeris, Pn. Julia Binti Abdul Muttalip (Guru Cemerlang BI) dan En. Hanugaragan.

Dilaporkan oleh;
Vishalini a/p Ravichandran

Tuesday, February 21, 2012

PELANCARAN PROGRAM NILAM TAHUN 2012 PERINGKAT SEKOLAH



PROGRAM:                         PELANCARAN PROGRAM NILAM 2012
UNIT:                                    KURIKULUM
UNIT KURIKULUM:              PUSAT SUMBER SEKOLAH (Unit NILAM)
ANJURAN:                          UNIT NILAM SMKBP
TARIKH:                                20 FEB 2012
TEMPAT:                              DEWAN PERDANA PUTRA, SMK BANDAR PUTRA
SASARAN/ KATEGORI:       Semua murid
PERINGKAT:                       SEKOLAH

PENCAPAIAN KESELURUHAN:
                Pelancaran Program NILAM ini telah dirasmikan oleh En. Abd. Gani Bin Abas, GPK Ko-Kurikulum SMK Bandar Putra dengan jayanya bertempat di Dewan Perdana Putra. Program ini merupakan satu usaha untuk menarik minat pelajar bagi menyertai program NILAM dengan lebih aktif dan di samping itu diharapkan juga dapat memupuk minat membaca dalam kalangan murid di SMK Bandar Putra. Antara aktiviti sokongan kepada program ini ialah Pameran dan Jualan  Buku oleh Syarikat Buku E-Books.



ULASAN BUKU OLEH SITI MARDHIYAH LEE BINTI MUHAMMAD HISYAM LEE



PELAJAR MEMBUAT CATATAN SEPANJANG MAJLIS PELANCARAN


PENYAMPAIAN ANUGERAH TOKOH NILAM DAERAH KULAIJAYA 2012

Saturday, February 18, 2012

TAHNIAH!!!! SMKBP JOHAN TOKOH NILAM PERINGKAT DAERAH KULAIJAYA



Siti Mardhiyah Lee Binti Muhammad Hisyam Lee dinobatkan sebagai Tokoh NILAM Daerah Kulaijaya
          Pada 9 Februari 2012 yang lalu, Pertandingan Anugerah Nilam Peringkat Daerah telah diadakan bertempat di SK Putra Utama, Bandar Putra, Kulaijaya. SMK Bandar Putra telah diwakili oleh pelajar tingkatan 5C iaitu Siti Mardhiyah Lee Binti Muhammad Hisyam Lee. Beberapa siri ujian telah dijalankan untuk menguji tahap pengetahuan peserta tentang bahan bacaan yang terkumpul. Ini termasuklah sesi pembentangan ulasan buku dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Selain itu, peserta juga telah diuji melalui sesi temuramah dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. 
          Siti Mardhiyah Lee telah berjaya melalui semua siri ujian tersebut dengan cemerlang dan dinobatkan sebagai TOKOH NILAM DAERAH KULAIJAYA bagi tahun 2012. Tahniah diucapkan kepada Siti Mardhiyah Lee atas kejayaan beliau yang telah mengekalkan kecemerlangan SMK Bandar Putra sebagai Johan selama 4 tahun berturut-turut. Adalah diharapkan kejayaan yang membanggakan ini akan menjadi perangsang untuk Siti Mardhiyah untuk mara  dengan lebih cemerlang dalam pertandingan peringkat Negeri yang akan diadakan pada 21 Februari 2012 bertempat di Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) Johor.
          Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada semua guru yang telah membimbing beliau iaitu Pn. Nik Norziana binti Nik Yusuf,  Pn. Manjula a/p Thangaraj, Pn. Julia Binti Abdul Muttalip (Guru-guru Unit Nilam 2012) dan Pn. Maslina Binti Rejoh (Guru Media).

Oleh;
Pn. Julia Binti Abdul Muttalip
Penyelaras Unit NILAM 2012

Thursday, February 9, 2012

LAGU NILAM


 

Membaca dan belajar,

amalan hidup mulia

Jadikanlah panduan wawasan anda

NILAM program membaca,

memberikan semangat

Membaca dengan jaya, budaya kita

membaca, matlamat NILAM kita,

Ganjaran yang diterima, tidak terhingga

Jadi Rakan Pembaca juga capai Jauhari

Pembaca yang bestari, Anugerah diberi


chorus


 

NILAM, NILAM, Anugerah NILAM

Menerangi jalan suram

NILAM, NILAM, Anugerah NILAM

Idaman pembaca jaya.

Membaca dan belajar , amalan hidup mulia

Jadikanlah panduan wawasan anda

NILAM program membaca, memberikan semangat

Membaca dengan jaya,budaya kita

Tabiat membaca, matlamat NILAM kita,

Ganjaran yang diberi, tidak terhingga

Jika suka membaca, dunia indah sekali,

Akal bijak bistari, hidup berseri


 

chorus

NILAM, NILAM, Anugerah NILAM

Menerangi jalan suram,

NILAM, NILAM, Anugerah NILAM

Idaman pembaca jaya…

Tuesday, January 24, 2012

PROGRAM NILAM


LATAR BELAKANG

Budaya ilmu adalah aktiviti ilmiah yang dipraktikan sesebuah masyarakat untuk menjadi masyarakat bertamadun. Peradaban ini akan terus relevan dan berkembang jika diasah dan diperturunkan kepada generasi muda masyarakat kita. Pembentukan bangsa atau masyarakat dapat dibina jika mengamalkan budaya ilmu. Salah satu asas yang penting bagi budaya ilmu ialah amalan membaca. Membaca perlu disemai dan dijadikan amalan setiap anggota masyarakat agar dapat berkembang maju dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, dan teknologi. Kecemerlangan bangsa dan negara akan dapat dicapai jika masyarakatnya membudayakan amalan membaca sebagai rutin harian. Sekaligus pengetahuan dan pengalaman melalui pembacaan dijadikan asas pembentukan modal insan yang cemerlang bagi membentuk negara maju.

Program NILAM

Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan Program NILAM di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Program NILAM adalah agenda prima untuk menjadikan murid-murid sekolah sebagai warga yang berilmu. Di samping menjadikan membaca satu habit yang berkesinambungan tanpa mengira peringkat usia. NILAM adalah akronim daripada Nadi Ilmu Amalan Membaca. Program NILAM merupakan pengabungan atau adunan semua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan di sekolah seluruh negara. Program NILAM adalah penjenamaan semula program membaca dengan memberi pengiktirafan. Ianya salah satu kaedah untuk menangani masalah yang menghalang penyuburan tabiat membaca dalam kalangan warga sekolah dan masyarakat Malaysia amnya.

Matlamat

Matlamat Program NILAM Pusat Sumber Sekolah SMK Bandar Putra adalah seiring dengan matlamat di peringkat Kebangsaan iaitu;

  • Membina tabiat membaca yang berkekalan dalam kalangan murid.
  • Meningkatkan kuantiti dan kualiti prestasi akdemik murid-murid dan sekolah.

Objektif

Objektif Program NILAM Pusat Sumber Sekolah SMK Bandar Putra adalah sebagaimana objektif di peringkat kebangsaan. Iaitu sepanjang program NILAM murid-murid akan dapat:

a. Menjadikan murid banyak membaca atau suka membaca.

b. Menggalakkan sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca.

Tiga Elemen Program NILAM

a. Rekod Membaca : Setiap murid merekod buku yang dibaca dalam Buku Rekod NILAM.

b. Pengesahan Pembacaan : Guru mengesahkan rekod bacaan murid.

c. Pengiktirafan : Pengiktirafan diberi kepada murid berdasarkan bilangan buku yang dibaca dan aktiviti berkaitan yang disertai.

Pelaksanaan

Program NILAM mempunyai dua tahap pelaksanaan iaitu;

Tahap Jauhari

  • Murid wajib mengikuti aktiviti galakan membaca di sekolah.
  • Membina kemahiran dan minat membaca sehingga menjadi satu tabiat.
  • Menggu akan kemudahan perkhidmatan pinjaman buku melalui pusat sumber sekolah dan pusat maklumat yang lain.
  • Mula dinilai dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5.

Tahap Rakan Pembaca

  • Murid yang telah berjaya membaca 100 naskhah buku layak di peringkat ini.
  • Murid berkebolehan membimbing dan menarik minat rakan lain supaya membaca buku.
  • Mendapat bimbingan Guru Pembimbing sebelum menjalankan aktiviti RP.
  • Memberi pinjman buku kepada rakan, ahli keluarga dan jiran.
  • Markah diberi berdasarkan bilangan buku dibaca, jumlah pendengar, dan pembaca.

Aktiviti

Antara aktiviti yang dicadangkan di peringkat RP Pusat Sumber Sekolah SMK Bandar Putra adalah seperti berikut;

  • Bercerita
  • Membaca bersama
  • Bicara Buku
  • Meminjam buku
  • Memberi pinjaman buku
  • Ulasan Buku
  • Ulat Buku
  • Kamus Bergerak
  • Forum
  • Ceramah Buku
  • Ceramah
  • Jejak Buku
  • Kuiz Pengetahuan
  • Pameran Buku
  • Kelas Terbaik NILAM (Menengah Rendah & Atas)

Pengiktirafan

Berhubung pengiktirafan Program NILAM Pusat Sumber Sekolah SMK Bandar Putra. Murid-murid yang layak akan mendapat:

  • Sijil Anugerah NILAM
  • Sijil Akuan Sekolah
  • Sijil Berhenti Sekolah

Pengiktirafan Tahap Jauhari

Jumlah Bacaan                          Pengiktirafan

72-143 buah                               Gangsa

144-215 buah                             Perak

216- 287 buah                           Emas

288 ke atas                                  NILAM

Pengiktirafan Tahap Rakan Pembaca

Segala aktiviti Rakan Pembaca dijalankan dan direkod dalam buku khas, disemak serta dinilai oleh guru pembimbing. Program NILAM Tahap Rakan Pembaca peringkat Pusat Sumber Sekolah SMK Bandar Putra adalah sama dengan pengiktirafan diperingkat kebangsaan.

Markah                                        Pengiktirafan

100-199                                         Gangsa

200-299                                        Perak

300-399                                        Emas

400 ke atas                                   NILAM