Showing posts with label SMK Bandar Putra. Show all posts
Showing posts with label SMK Bandar Putra. Show all posts

Sunday, March 17, 2013

SMKBP JOHAN ANUGERAH TOKOH NILAM PERINGKAT NEGERI 2013

Pada 26-28 Februari 2012, Pertandingan Anugerah Tokoh Nilam Peringkat Negeri Johor Tahun 2013 telah diadakan, bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Johor, Skudai, Johor Bahru.  Dalam pertandingan tersebut, seramai dua orang calon dari SMK Bandar Putra telah mewakili daerah Kulaijaya, masing-masing bagi kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Kategori Bahasa Melayu diwakili oleh saudari Nur Sakinah Binti A. Hadi manakala bagi kategori Bahasa Inggeris diwakili oleh saudari Vishalini a/p Ravichandran.
Pertandingan Anugerah Tokoh Nilam Peringkat Negeri Johor dijalankan dalam format kem di mana peserta akan diuji dan dinilai daripada pelbagai aktiviti dan tugasan yang diberikan sepanjang 2 hari, manakala hari ketiga adalah acara penutupan rasmi serta pengumuman keputusan. Peserta-peserta tersebut dibimbing oleh Pn. Nik Norziana Binti Nik Yusuf (BM) dan Pn. Julia Binti Abdul Muttalip (BI).
Pada hari pertama, selepas sesi pendaftaran, peserta menghadiri taklimat yang diberikan oleh pegawai BTPN iaitu Pn. Helen. Dalam taklimat beliau, peserta diingatkan supaya mematuhi peraturan sepanjang kem berlangsung. Slot pertama pada hari tersebut adalah sesi Jejak Maklumat yang bertempat di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor, Jalan Yahya Awal. Peserta dimestikan berpakaian sukan untuk slot tersebut untuk memudahkan pergerakan. Tugasan yang diberikan adalah mencari maklumat tentang 10 tajuk pengetahuan am. Di perpustakaan tersebut, peserta bebas menggunakan system OPAC untuk mencari buku yang sesuai bagi tajuk yang diberikan. Aktiviti Jejak Maklumat tersebut berakhir pada jam 4 petang. Usai aktiviti Jejak Maklumat tersebut, peserta dibawa ke Legoland bagi tujuan bersiar-siar dan sesi fotografi.
Pada jam 6 petang, peserta kembali semula ke BTPN untuk makan malam dan bersedia untuk sesi ujian bertulis pada jam 8.30 malam. Sesi Ujian Bertulis berlangsung pada jam 8.30 malam di mana peserta diberikan tajuk esei (150 patah perkataan) untuk dijawab dalam tempoh 30 minit.  Tamat sesi ujian bertulis, satu siri ceramah Astronomi telah diadakan selama satu jam untuk mendedahkan peserta kepada maklumat tentang ilmu astronomi. Sesi tamat pada jam 11 malam.
Pada hari kedua, peserta diuji dalam dua sesi iaitu sesi temuduga dan forum. Setiap temuduga berlangsung selama lebih kurang 30 minit. Peserta juga diberikan bahan rekreasi minda untuk mengisi masa yang terluang. Dalam sesi temuduga, peserta disoal tentang pengurusan Pusat Sumber dan pelbagai maklumat mengenai buku. Selain itu, soalan berbentuk pengetahuan am dan pendapat juga antara aspek yang dinilai. Sesi temuduga bagi semua peserta berakhir pada jam 2 petang.
Pada jam 2.30 petang, peserta diuji dalam sesi forum di mana peserta diletakkan dalam kumpulan (seramai 5 orang dalam setiap kumpulan). Dalam sesi forum, peserta dinilai dari sudut kemahiran berkomunikasi dan pengetahuan am serta keyakinan dalam memberikan pendapat masing-masing. Sesi tamat pada jam 4.00 petang. Tamatnya dua sesi tersebut, peserta kemudian bersedia untuk aktiviti malam. Peserta diberitahu bahawa sesi Jejak Maklumat akan didadakan pada jam 8.00 malam diikuti dengan Persembahan Kebudayaan.
Aktiviti Jejak Maklumat diadakan pada jam 8.30 malam di mana peserta Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah digabungkan dalam 10 kumpulan. Setiap kumpulan perlu menjawab 62 soalan. Jawapan bagi soalan-soalan tersebut boleh didapati dari beberapa lokasi berbeza di BTPN iaitu di asrama, Bilik ICT, Pusat Sumber dan Bilik Seminar. Sesi tersebut berakhir sekitar jam 10 malam. Aktiviti diteruskan dengan persembahan setiap kumpulan yang berakhir sekitar jam 1 pagi.
Hari ketiga, peserta berhimpun di Dewan Seminar Jabatan Pelajaran Negeri Johor bagi acara penutup dan pengumuman keputusan pertandingan tokoh Nilam peringkat negeri johor tahun 2013. Bagi Kategori Bahasa Melayu, saudari Nur Sakinah Binti A. Hadi telah Berjaya mendapat tempat ketiga manakala bagi Kategori Bahasa Inggeris, saudari Vishalini a/p Ravichandran telah dinobatkan sebagai Tokoh Nilam Negeri Johor Tahun 2013.

 Tokoh Nilam 2013(Tempat Ketiga) Sakinah Binti A. Hadi (Berdiri; tiga dari kiri) bersama
 wakil-wakil daerah bagi kategori Bahasa Melayu.





VISHALINI A/P RAVICHANDARAN(TENGAH)
TOKOH NILAM PERINGKAT NEGERI JOHOR 2013
KATEGORI BAHASA INGGERIS
Tahniah diucapkan kepada kedua-dua peserta kerana telah mengharumkan nama SMK Bandar Putra. Kejayaan mereka juga adalah hasil usaha Tuan Pengetua, En. Azman Bin Adnan dan guru-guru yang bersama-sama menggembeleng tenaga dalam persiapan calon iaitu Guru Perpustakaan & Media, Pn. Rohaya Mohd. Nor, Setiausaha Unit Perpustakaan & Media, Pn. Nik Norziana binti NIk Yusuf, Guru Nilam Bahasa Melayu, Pn. Manjula a/p Thamgaraj, Guru Nilam Bahasa Inggeris, Pn. Julia Binti Abdul Muttalip (Guru Cemerlang BI) dan En. Hanugaragan.

Dilaporkan oleh;
Vishalini a/p Ravichandran

Saturday, February 18, 2012

TAHNIAH!!!! SMKBP JOHAN TOKOH NILAM PERINGKAT DAERAH KULAIJAYA



Siti Mardhiyah Lee Binti Muhammad Hisyam Lee dinobatkan sebagai Tokoh NILAM Daerah Kulaijaya
          Pada 9 Februari 2012 yang lalu, Pertandingan Anugerah Nilam Peringkat Daerah telah diadakan bertempat di SK Putra Utama, Bandar Putra, Kulaijaya. SMK Bandar Putra telah diwakili oleh pelajar tingkatan 5C iaitu Siti Mardhiyah Lee Binti Muhammad Hisyam Lee. Beberapa siri ujian telah dijalankan untuk menguji tahap pengetahuan peserta tentang bahan bacaan yang terkumpul. Ini termasuklah sesi pembentangan ulasan buku dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Selain itu, peserta juga telah diuji melalui sesi temuramah dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. 
          Siti Mardhiyah Lee telah berjaya melalui semua siri ujian tersebut dengan cemerlang dan dinobatkan sebagai TOKOH NILAM DAERAH KULAIJAYA bagi tahun 2012. Tahniah diucapkan kepada Siti Mardhiyah Lee atas kejayaan beliau yang telah mengekalkan kecemerlangan SMK Bandar Putra sebagai Johan selama 4 tahun berturut-turut. Adalah diharapkan kejayaan yang membanggakan ini akan menjadi perangsang untuk Siti Mardhiyah untuk mara  dengan lebih cemerlang dalam pertandingan peringkat Negeri yang akan diadakan pada 21 Februari 2012 bertempat di Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) Johor.
          Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada semua guru yang telah membimbing beliau iaitu Pn. Nik Norziana binti Nik Yusuf,  Pn. Manjula a/p Thangaraj, Pn. Julia Binti Abdul Muttalip (Guru-guru Unit Nilam 2012) dan Pn. Maslina Binti Rejoh (Guru Media).

Oleh;
Pn. Julia Binti Abdul Muttalip
Penyelaras Unit NILAM 2012